Friday, April 13, 2012

Dan Ingatlah ....

Bila kuntum bidadari melintasi aku




Ikhwah fillah



Dakwah dan perjuangan memang tiada penghujung.
Bersambung dan terus bersambung.
Dan kita adalah penyambung duat terdahulu.
Duat datang dan pergi.
Ada yang pergi dalam kehinaan kerana dipesong dunia dan kebendaan.
Ada yang pergi dengan penuh izzah menemui puncak kasih Tuhannya.
Itulah dunia dakwah yang penuh warna warna.
Penuh bahasa duka dan keindahan.
Penuh dengan perputaran gelombang.
Dipunyai akhirat dan juga dipunyai dunia.
Akhirat yang menyembunyikan wajahnya dan ….
Dunia yang sentiasa memujuk sang rijal dengan kuntum bidadari dunia yang menyenangkan jiwa!
Dakwah tidak menjanjikan kemenangan dan kejayaan dihujungnya kerana dakwah hanyalah merupakan suatu tapisan bagi kehidupan seorang mukmin yang punya hati, jiddiyah, kesedaran, mahabbah dan cintakan mati untuk menemui Tuhannya.
Justeru itu pengemban dakwah boleh menjangkau langit jika ia membawa jiwanya tengelam dalam pusaran hidup yang bermakna!
Boleh menyatu dengan Rabbnya dengan debu debu jihadnya.
Dan boleh menembus bumi bagai cahaya yang membakar kabut.
Dakwah bukan dunia suka suka, dunia tawa serta dunia ukuhuwah semata tapi adalah amanah dan masuliyah. Hingga membuatkan manusia letih seletih letihnya.
Berkorban sampai terkorban.
Rehat, harta dan nyawa adalah uftinya.
Malah mengheret kita sepanjang kehidupan sehingga melukakan, mengoyakan dan mengikat erat dalam cengkeraman nya.
Inilah perjalanannya.
Inilah perjalananku.
Perjalanan yang ku pilih untuk mencari Tuhan.
Dan Tuhan menganugerahkan dakwah ini untuk kita mencariNya.
Dan tidak semua manusia dianugerah nikmat ini kecuali bagi mereka yang terpilih.
Tuhan pilih kita kerana menyayangi kita dan Tuhan menyuruh kita mencari dia.
Mencari Tuhan tidak semudah yang kita duga atau yang kita faham.
Bukan dalam impian atau dalam angan.
Atau hanya  bersolat dan ibadah ritual yang lain kerana Tuhan menginginkan jiwa kita.
Menginginkan hati kita.
Menginginkan ruh kita yang diberi percuma olehnya dalam keadaan suci dan Dia menginginkan kita kembalikan kepadanya dalam keadaan yang suci jua.
Dan dakwahlah jalan penyucian itu.
Berkorban dan mati dijalan inilah penyucian itu.
Berkorban dan mati itulah ‘ cinta ‘ yang hakiki.
Dan inilah perjalananku untuk membuang cinta dan mengapai cinta!
Bukan mudah untuk membuang cinta yang ku fahami dulu yang pernah merangkulku. Pernah membuat ku berharap. Pernah berkata pada ku tentang kebahagiaan. Pernah menuangkan sirap manis dihatiku. Pernah memakuku dalam kebingungan sehingga dihempas aku dalam sepi atau hanya ku reguk bahagia dalam bayang khayalku yang akhirnya tak kudapatkan dan pergi begitu saja bagai sekuntum bidadari melintasi aku!
Dan bukan mudah untukku meneruskan kembara ini dan memperbaharui jalinan cintaku yang baru yang harus aku bermujahadah bersungguh sungguh untuk mengapainya. Kerana mungkin harus ku jalani jalan jalan yang penuh tangis untuk mendaki dalam mengisi harapan harapanku agar aku tidak jatuh dari pendakian itu.
Itulah hakikat penyucian.
Memerlukan perubahan.
Mendambakan hati yang penuh keyakinan, kecintaan dan kepercayaan untuk melalui ujian yang membuatkan kita begitu haus dan merindukan kesejukan tarbiyah untuk mengendalikan hidup kita yang terkadang  lemas dalam gelombang perasaan resah yang menghempaskan jiwa kita.
Ikhwah fillah
Tiada berniat untuk aku menakutkan kamu dijalan ini.
Apa lagi untuk mengundurkan kamu dari melalui jalan ini.
Apa yang ingin aku sampaikan disini adalah untuk kamu memahami tabiat jalan ini agar kamu menyediakan hati untuk ‘redha’ dan meneruskan perjalanan jika melalui terowong ujian yang begini.
Banyak ku lihat orang yang bersama dijalan dakwah ini dan kebersamaan mereka dijalan ini hanya’ taklid ‘  ( ikut ikutan ) semata mata.
Ada yang disebabkan kerana kecewa dengan kehidupan yang dilalui dan ada yang masuk tanpa mengerti lantas akhirnya gugur dalam kejahilan!
Ikhwah fillah
Ketahuilah …
Inilah perjalanan kita.
Lupakan kisah lalu …
Lupakan malam malam kita yang lalu ..
Malam lalu yang tiada purnama …
dan kita lupakanlah siang dulu
siang dulu yang tiada mentari
Jalan kita masih jauh
Jalan yang membawa kita kepada sesuatu.
Sesuatu yang menyukakanNya.
Sesuatu yang boleh Dia menyambutnya
Dalam kepenuhan cintaNya dan dalam damai kasihNya!
KasihNya itu mahukan pengorbanan kita.
Bukan kerana Dia berkehendak!
Tapi itulah syaratnya.
Itulah Syariat.
Syariat yang membuatkan kita menjadi takwa.
Perjuangan dan pengorbanan memerlukan jiwa yang hidup dan bukan yang gersang.
Jiwa yang ada dalam hatimu itulah yang perlu kamu hidupkan akhi!
Kerana kita adalah masadepan Islam.
Lihatlah dirimu.
Adakah kamu hanya qussas ( tukang cerita ) dijalan dakwah ini?
Hanya berteleku dan menanggis mengenangkan ummah.
Hanya mengarah, mengerah mutarabbimu tanpa kamu bergerak dan melangkah memacu tenaga bersama mereka?
Apakah kamu sudah merasa puas apa yang kamu miliki sekarang yang hanya menjadi naqib dan naqibah yang qussas tanpa dapat mentulinkan perjuangan dengan maju kemedan dakwah ini dengan hati yang hidup dan menghidupkan hati manusia lain seperti yang di buat oleh Nabi yang bersama sama bergelut diMedan?
Kita bukan qussas ( tukang cerita). Bukan juga Tok dalang yang mengerakkan wayang kulit tapi kitalah yang harus bergerak menghirup saki baki iman dan umur yang masih berbaki ini.
Mari kita jual diri dan harta kita dijalan ini untuk mendapatkan ganjaran agung dan menemui cinta yang sejati dari Allah dan Rasul.
Biarlah mereka mereka. Manusia manusia malas dan bacul yang menjadi tukang cerita  itu melihat kita berjalan didenai yang becak ini kehairanan membawa risalah Tuhan kerana mereka tidak tahu betapa khusyuknya kita tenggelam dalam lautan dan samudera kenikmatan serta kecintaan serta tawakkal yang tinggi pada Rabb kita mencari cinta yang telah lama wujud dalam ruh kita.
Akhi
Inilah perjalanan ku
Perjalanan untuk terakhir kalinya  setelah hidayah itu memandikan aku dengan nuur Nya.
Setelah rahsia perjalanan lalu kusimpan rapi mengharap ampunan Tuhanku!
Inilah perjalanan ku yang ku harap kamu doakan setelah kamu diam membisu dan menolak aku didalam duka…
Dan kuharap perjalanan ku ini dapat melahirkan jiwa yang lebih suci dan mencerahkan jalan kehidupan ku walau kesadaran menghenyakan aku akan hari hari mendatang yang penuh misteri …
Dan kuharap nanti disuatu tika bidadari yang melintasi aku didunia ini akan berhenti dihadapan ku diakhirat sana dengan kuntum senyum menerima aku dengan redha Tuhanku ….


No comments:

Post a Comment