TARIKH 17 Ramadhan sering kali diingatkan akan satu peristiwa berkaitan dengan Nuzul Al-Quran, tetapi jarang orang memperingati Peristiwa Perang Badar yang berlaku pada tarikh yang sama.
Peristiwa Badar al-Kubra yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah adalah kerana ianya amat signifikan dalam sejarah Islam di mana inilah hari yang menentukan kesinambungan dakwah Islam. Hari penentuan sama ada Islam terus berkembang atau berkubur. Rasulullah S.A.W ketika berlakunya peperangan tersebut bermunajat kepada Allah:-
اللهم أنشدك عهدك و وعدك، اللهم إن تهلك هذه العصابة لا تعبد في الأرض
Ya Allah, aku mengharapkan janji-janjiMu. Ya Allah, jika sekiranya Engkau binasakan akan pasukan ini (yakni para pejuang Badar), nescaya Engkau tidak akan disembah lagi di mukabumi ini.
Angkatan perang pimpinan Rasulullah S.A.W berangkat meninggalkan kota Madinah pada tanggal 8 Ramadhan. Sewaktu ketiadaan baginda di kota Madinah, Amru bin Ummi Maktum dilantik menjadi iman sholat.
Rasulullah S.A.W berangkat bersama-sama 313 orang sahabat baginda. Panji-panji perang di serahkan kepada Sayyidina Mush’ab bin ‘Umair bin Hasyim bin ‘Abd Manaf bin ‘Abduddar R.A manakala panji-panji kaum Muhajirin dipegang oleh Sayyiduna ‘Ali bin Abi Thalib dan panji-panji kaum Anshar di pegang oleh Sayyiduna Sa’ad bin Mu’adz.
Dalam kitab kisah-kisah para sahabat yang ditulis oleh al-Muhaddits Maulana Muhammad Zakariyya Kandahlawi dinyatakan bahwa perbekalan angkatan perang kaum Muslimin sangat sedikit iaitu 3 ekor kuda, 70 ekor unta, 6 atau 9 baju besi dan 8 bilah pedang. Oleh kerana terhadnya kenderaan untuk ditunggangi maka para sahabat terpaksa menunggang secara bergilir.
Rasullullah S.A.W, Ali bin Abi Thalib dan Martsad bin Abu Martsad al-Ghanawi secara bergiliran menaiki satu unta. Hamzah bin Abdullah Mutthalib, Zaid bin Haritsah, Abu Kabsyah dan Anasah, satu unta. Abu Bakar, Umar dan Abdurrahman bin Auf, satu unta. Dek kerana dhaifnya perbekalan tentera muslimin terutamannya dari ketumbukan kaum Muhajirin, maka dengan penuh belas kasihan Rasulullah S.A.W berdoa:
اللهم إنهم حفاة فاحملهم اللهم إنهم عراة فاكسهم وإنهم جياع فاشبعهم
Ya Allah, mereka ini (kaum Muahjirin berjalan tanpa alas kaki (berkaki ayam) maka, ringankanlah langkah mereka. Mereka tidak berpakaian, berilah mereka pakaian dan mereka lapar, berilah mereka makanan.
Badar yang letaknya lebih kurang 145km arah barat laut dari kota Madinah al-Munawwarah menjadi saksi di atas keimanan dan ketaqwaan para sahabat sehingga dengannya Allah mendatangkan bantuan-Nya kepada mereka. Badar menyaksikan pertembungan diantara kaum muslimin dengan kaum musyrikin yang mempunyai kekuatan lebih dari tiga kali ganda, siap dengan kudanya berjumlah 100 ekor.
Firman Allah [maksudnya]: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Aali Imran: 123)
Badar menyaksikan pertolongan Allah kepada kaum muslimin di mana 1000 malaikat yang berserban membantu para shahabat menghadapi kaum musyrikin. Dan akhirnya kaum muslimin telah dihadiahkan dengan kemenangan. Kaum musyrikin kecundang dengan menyaksikan 70 tentera mereka termasuk Abu Jahal (Amr bin Hisyam bin al-Mughirah) sebagai panglima perang terbunuh, 70 lagi ditawan kaum muslimin. Kaum muslimin hanya 14 orang telah syahid.
Sesungguhnya, tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijriyah, hari yang menyaksikan pembelaan Ahli Badar kepada baginda Rasulullah S.A.W sungguh tidak ada orang yang lebih setia, lebih memuliakan dan lebih mencintai Rasulullah S.A.W melebihi kesetiaan dan kecintaan Ahlul Badr, رضي الله عنهم أجمعين kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Lihatlah bagaimana mereka menyambut seruan Rasulullah S.A.W untuk keluar berjihad di luar kota Madinah. Saad bin Mu’adz R.A berkata …..
Demi Allah, seandainya engkau berjalan sehingga sampai ke Barak al-Ghimad (di Yaman), nescaya kami akan berjalan bersamamu. Demi Allah seandainya engkau membawa kami ke menyeberangi lnescaya kami akan menyeberanginya bersamamu .
Sayyiduna Saad bin Ubadah R.A pula berkata:
Perintahkan apa sahaja yang engkau inginkan kepada kami wahai Rasulullah. Demi Dzat yang jiwaku didalam gengaman kekuasaanNya, jika engkau memerintahkan kami untuk meredah lautan sungguh kami akan meredahnya. Dan jika engkau memerintahkan kami menyelami dasarnya untuk pergi ke Barak al-Ghimad, maka pasti kami akan melakukannya.
Sayyiduna Miqdad R.A pula berkata:
Wahai Rasulullah … kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana kami Musa berkata kepada Musa: Maka pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya akan duduk menanti disini sahaja (al-Maaidah: 24) – Akan tetapi kami akan berperang di sebelah kananmu dan disebelah kirimu dihadapanmu dan dibelakangmu ….
Inilah bukti kecintaan, bukti kesetiaan yang ditunjukkan oleh ahli Badar. Maka tidak hairanlah hingga diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : “Allah Ta’ala berfirman kepada Ahlu Badr: “Beramallah (berbuatlah) semahu kalian, sungguh aku telah mengampuni dosa kalian” (Shahih Bukhari).
Tersebut dalam matan Zubad :-
وبعده فالأفضل الصديـق – والأفضل التالي له الفاروق
عثمان بعـده كـذا علـي – فالستة الباقون فالبـدري
Dan kemudian daripadanya maka yang terlebih afdhal adalah Abu Bakar as-Siddiq – Dan yang terlebih afdhal yang mengiringi baginya adalah al-Faruq [Umar al-Khattab] Utsman kemudiannya, demikian lagi ‘Ali – Maka yang enam yang tinggal [daripada 10 orang yang dijanjikan dengan syurga iaitu selain 4 shahabat diatas, Thalhah, Zubair al-Awwam, Sa’ad ibn Abi Waqqas, Sa’id ibn Zaid, Abdurrahman bin ‘Auf dan Abu Ubaidah ibn al-Jarrah ] maka ahlul Badar
No comments:
Post a Comment