Firman
Allah Ta’ala di dalam Al-Quran :
Dan
di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untukmu
isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram
kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya
pada yang demikian itu ada tanda-tanda bagi yang mahu berfikir. [ Ar-Ruum : 21
]
Pernikahan
adalah impian setiap manusia. Samada mereka beriman ataupun tidak beriman.
Tetapi cara mereka melihat pernikahan itu berbeza-beza. Istimewanya orang
mukmin adalah kerana mereka melihat pernikahan itu bukan sekadar pernikahan,
sebaliknya adalah Baitul Muslim, yakini rumahtangga orang beriman.
Hakikatnya,
baitul muslim sememangnya bukan sekadar akad nikah. Bukan sekadar majlis
walimah. Bukan sekadar ada rasa cinta dan kasih. Bukan sekadar mendapat zuriat.
Tetapi
baitul muslim lebih besar daripada itu. Samada dari segi maksud, matlamat dan
cara.
Hanya
dengan memahami dan menghayati kesemua ini barulah kita dapat mencapai hakikat
Baitul Muslim yang terindah.
BIASA-BIASA
Baitul
Muslim yang biasa-biasa sebenarnya tidak indah. Kalaupun di dalamnya ada kasih
sayang, kecintaan dan kebahagiaan, ia tetap tidak indah. Sebagai mukmin, kita
tidak mentakrifkan indah mengikut logik akal semata-mata. Tetapi sudah tentu
kita akan mentakrifkan indah itu mengikut qudwah.
Qudwah
yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Sayangnya, kadang-kadang kita terlalu melihat
kepada contoh-contoh bagaimana Nabi s.a.w berkasih sayang dengan isteri-isteri
Baginda. Tetapi kita lupa untuk melihat secara lebih luas apa yang Nabi
praktikkan dalam kehidupan bersama isteri-isteri Baginda.
Nabi
s.a.w sebenarnya mempraktikkan Baitul Muslim yang bukan biasa-biasa. Sebaliknya
Nabi s.a.w menunjukkan kepada kita bagaimana Baitul Muslim dibina secara ‘luar
biasa’ sehingga menjadi indah dan paling indah.
Jadi
mari kita lihat, apa yang menjadikan Baitul Muslim itu indah dan luar biasa
mengikut kacamata Islam.
( 1 ) PEMBINAAN INDIVIDU MUSLIM YANG
BERTERUSAN
Banyak
terjadi, pembinaan individu muslim ( fardul muslim ) hanya terhenti di gerbang
akad. Ini suatu yang malang. Jika sebelum nikah dia seorang yang rajin
beribadah, hebat pergantungan dengan Allah, kuat berjuang, tekun memperbaiki
diri, tiba-tiba selepas bernikah semua proses tersebut terus mati. Seolah
matlamat yang dituju dari usaha-usaha tersebut telah tercapai. Maka tidak perlu
lagilah proses pembinaan diri.
Sebenarnya,
Baitul Muslim yang paling indah adalah Baitul Muslim yang dibina oleh dua orang
yang masih mengekalkan pembinaan fardul muslim mereka. Baik suami mahupun
isteri, kedua-duanya tetap melazimi apa yang mereka buat sebelum berkahwin
khususnya dari segi ibadah khusus dan ibadah umum, termasuk perjuangan.
Kedua-duanya mengekalkan budaya tegur menegur dan nasihat menasihati.
Kedua-duanya mengekalkan fokus kepada matlamat besar Islam dan bukan sekadar
fokus kepada matlamat peribadi masing-masing.
Inilah
yang dipraktikkan oleh Nabi s.a.w. Kita melihat di dalam sirah, bagaimana
ibadah Nabi s.a.w tidak luntur dengan perkahwinan. Dakwah dan perjuangan Nabi
s.a.w tidak haus dengan pernikahan. Bahkan semakin berganda kehebatannya.
( 2 ) ISTERI YANG SANGGUP DIMADUKAN
Tidak
syak lagi, bahawa Baitul Muslim yang terindah hanya terbina apabila isteri
sanggup untuk dimadukan. Baitul Muslim terindah tidak akan terbina jika isteri
seorang yang sangat kuat ‘memonopoli’ suami. Apa yang terpasak di dalam otaknya
adalah ; suami itu hak dia dan tidak boleh dikongsi dengan sesiapa. Ini silap.
Sekiranya ini wujud dalam sesebuah Baitul Muslim, maka tipislah harapan untuk
ia menjadi Baitul Muslim yang terindah.
Bermadu
yang dimaksudkan adalah bermadu dengan perjuangan. Dengan dakwah. Dengan kerja
Islam. Dia tidak membolot masa dan perhatian suami sepenuhnya sehingga
memberatkan kaki suami untuk melangkah ke medan juang. Bahkan dia rela
berkongsi masanya dan bersedia mengorbankan kehendak hatinya demi memastikan
dakwah Islam terus subur.
Jika
kita lihat dalam sirah, kita akan dapati bahawa Nabi s.a.w bukan sahaja seorang
suami yang terbaik, bahkan Baginda s.a.w juga adalah panglima perang yang
terbaik. Sesungguhnya semua itu tidak akan tercapai tanpa pengorbanan dan
sokongan daripada isteri-isteri dari belakang tabir.
( 3 ) ZURIAT SEBAGAI PRODUK DAKWAH
Antara
lain, Baitul Muslim terindah akan tercapai sekiranya suami dan isteri
menjunjung komitmen untuk meramaikan zuriat sebagai kader dakwah. Sebagai
penyambung generasi yang memperjuangkan Islam di muka bumi. Bukan sekadar
melahirkan anak-anak yang comel, kemudian memberikan kasih sayang tanpa
sempadan dan dalam masa yang sama mengabaikan tarbiyah Islam ke atas anak-anak
tersebut. Hendak jadi penyanyi, penyanyilah. Hendak jadi penari, penarilah.
Hendak bukak tudung, bukak tudunglah. Hendak berkawan bebas lain jantina,
berkawanlah. Ini sangat jauh dari makna sebenar Baitul Muslim itu sendiri.
Bahkan
di awalnya lagi, sebelum berkahwin sewajarnya tekad untuk meramaikan zuriat ke
jalan Allah menjadi salah satu target yang penting. Lebih bagus kalau diniatkan
supaya satu keturunan kita semuanya pejuang. Semuanya ada sumbangan dan jasa
untuk Islam. Barulah suami dan isteri ada bonus berpanjangan. Bukankah salah
satu dari amalan yang tidak terputus sampai mati adalah anak-anak yang soleh?
Nabi
s.a.w bersabda : Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya,
melainkan tiga perkara : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan Anak Soleh
yang mendoakannya.
( 4 ) MATLAMAT YANG SAMA UNTUK ISLAM
Paling
penting, untuk mencapai Baitul Muslim yang terindah, kedua-dua suami dan isteri
harus mempunyai matlamat yang sama untuk Islam. Matlamat peribadi boleh sahaja
berbeza-beza dan boleh diselesaikan melalui perbincangan. Tetapi matlamat yang
‘tidak dapat tidak’ adalah memberi sumbangan kepada Islam.
Kita
jangan ingat hendak memberi sumbangan kepada Islam itu hanya dengan suami
menjadi penceramah, atau isteri menjadi guru agama. Menyumbang kepada Islam
sangat luas konteksnya. Apa yang kita tidak mahu adalah, berkahwin dan hidup
sendiri-sendiri. Dapat anak, cari harta dan hidup senang lenang. Masa, idea, tenaga
hatta wang ringgit, sedikitpun tidak disalurkan kepada perjuangan Islam. Jika
begitu keadaannya, indahkah Baitul Muslim tersebut? Apakah itu keindahan Baitul
Muslim yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w?
Maka
binalah Baitul Muslim dengan menetapkan matlamat : kami mesti menjadikan
rumahtangga ini suatu bonus kepada Islam. Duduk semeja dan bincangkan, apakah
yang boleh disumbangkan kepada Islam dengan terbinanya Baitul Muslim ini? Boleh
jadi kemampuan berbeza-beza, bakat berbeza-beza, kelebihan berbeza-beza. Tidak
mengapa, yang penting kita proaktif dan tidak pasif.
Ingatlah
kembali di ketika sebelum berkahwin, kita bersungguh-sungguh menadah tangan dan
bersolat hajat supaya Allah ‘selamatkan agama’ kita dengan perkahwinan. Kini
setelah Allah izinkan pernikahan ke atas kita, sanggupkah kita pejamkan mata
sahaja dari menyumbang kepada agamaNya?
PENUTUP
Setiap
orang mahukan rumahtangga yang paling bermakna buat mereka. Dan saya
berpendapat, rumahtangga yang bermakna haruslah dibina dengan perkara-perkara
yang bermakna. Bermakna pada kita dan bermakna pada agama.
Sesungguhnya
Baitul Muslim yang terindah adalah Baitul Muslim yang wujud di dalamnya
keseimbangan antara percintaan dan perjuangan. Bukanlah Baitul Muslim yang
terbina dengan kasih sayang dua insan sehingga melupakan amanah dari Tuhan!