Thursday, July 18, 2013

bait muslim???

Firman Allah Ta’ala di dalam Al-Quran :

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda bagi yang mahu berfikir. [ Ar-Ruum : 21 ]

Pernikahan adalah impian setiap manusia. Samada mereka beriman ataupun tidak beriman. Tetapi cara mereka melihat pernikahan itu berbeza-beza. Istimewanya orang mukmin adalah kerana mereka melihat pernikahan itu bukan sekadar pernikahan, sebaliknya adalah Baitul Muslim, yakini rumahtangga orang beriman.
Hakikatnya, baitul muslim sememangnya bukan sekadar akad nikah. Bukan sekadar majlis walimah. Bukan sekadar ada rasa cinta dan kasih. Bukan sekadar mendapat zuriat.
Tetapi baitul muslim lebih besar daripada itu. Samada dari segi maksud, matlamat dan cara.
Hanya dengan memahami dan menghayati kesemua ini barulah kita dapat mencapai hakikat Baitul Muslim yang terindah.
BIASA-BIASA
Baitul Muslim yang biasa-biasa sebenarnya tidak indah. Kalaupun di dalamnya ada kasih sayang, kecintaan dan kebahagiaan, ia tetap tidak indah. Sebagai mukmin, kita tidak mentakrifkan indah mengikut logik akal semata-mata. Tetapi sudah tentu kita akan mentakrifkan indah itu mengikut qudwah.
Qudwah yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Sayangnya, kadang-kadang kita terlalu melihat kepada contoh-contoh bagaimana Nabi s.a.w berkasih sayang dengan isteri-isteri Baginda. Tetapi kita lupa untuk melihat secara lebih luas apa yang Nabi praktikkan dalam kehidupan bersama isteri-isteri Baginda.
Nabi s.a.w sebenarnya mempraktikkan Baitul Muslim yang bukan biasa-biasa. Sebaliknya Nabi s.a.w menunjukkan kepada kita bagaimana Baitul Muslim dibina secara ‘luar biasa’ sehingga menjadi indah dan paling indah.
Jadi mari kita lihat, apa yang menjadikan Baitul Muslim itu indah dan luar biasa mengikut kacamata Islam.

( 1 ) PEMBINAAN INDIVIDU MUSLIM YANG BERTERUSAN
Banyak terjadi, pembinaan individu muslim ( fardul muslim ) hanya terhenti di gerbang akad. Ini suatu yang malang. Jika sebelum nikah dia seorang yang rajin beribadah, hebat pergantungan dengan Allah, kuat berjuang, tekun memperbaiki diri, tiba-tiba selepas bernikah semua proses tersebut terus mati. Seolah matlamat yang dituju dari usaha-usaha tersebut telah tercapai. Maka tidak perlu lagilah proses pembinaan diri.
Sebenarnya, Baitul Muslim yang paling indah adalah Baitul Muslim yang dibina oleh dua orang yang masih mengekalkan pembinaan fardul muslim mereka. Baik suami mahupun isteri, kedua-duanya tetap melazimi apa yang mereka buat sebelum berkahwin khususnya dari segi ibadah khusus dan ibadah umum, termasuk perjuangan. Kedua-duanya mengekalkan budaya tegur menegur dan nasihat menasihati. Kedua-duanya mengekalkan fokus kepada matlamat besar Islam dan bukan sekadar fokus kepada matlamat peribadi masing-masing.
Inilah yang dipraktikkan oleh Nabi s.a.w. Kita melihat di dalam sirah, bagaimana ibadah Nabi s.a.w tidak luntur dengan perkahwinan. Dakwah dan perjuangan Nabi s.a.w tidak haus dengan pernikahan. Bahkan semakin berganda kehebatannya.

( 2 ) ISTERI YANG SANGGUP DIMADUKAN
Tidak syak lagi, bahawa Baitul Muslim yang terindah hanya terbina apabila isteri sanggup untuk dimadukan. Baitul Muslim terindah tidak akan terbina jika isteri seorang yang sangat kuat ‘memonopoli’ suami. Apa yang terpasak di dalam otaknya adalah ; suami itu hak dia dan tidak boleh dikongsi dengan sesiapa. Ini silap. Sekiranya ini wujud dalam sesebuah Baitul Muslim, maka tipislah harapan untuk ia menjadi Baitul Muslim yang terindah.
Bermadu yang dimaksudkan adalah bermadu dengan perjuangan. Dengan dakwah. Dengan kerja Islam. Dia tidak membolot masa dan perhatian suami sepenuhnya sehingga memberatkan kaki suami untuk melangkah ke medan juang. Bahkan dia rela berkongsi masanya dan bersedia mengorbankan kehendak hatinya demi memastikan dakwah Islam terus subur.
Jika kita lihat dalam sirah, kita akan dapati bahawa Nabi s.a.w bukan sahaja seorang suami yang terbaik, bahkan Baginda s.a.w juga adalah panglima perang yang terbaik. Sesungguhnya semua itu tidak akan tercapai tanpa pengorbanan dan sokongan daripada isteri-isteri dari belakang tabir.

( 3 ) ZURIAT SEBAGAI PRODUK DAKWAH
Antara lain, Baitul Muslim terindah akan tercapai sekiranya suami dan isteri menjunjung komitmen untuk meramaikan zuriat sebagai kader dakwah. Sebagai penyambung generasi yang memperjuangkan Islam di muka bumi. Bukan sekadar melahirkan anak-anak yang comel, kemudian memberikan kasih sayang tanpa sempadan dan dalam masa yang sama mengabaikan tarbiyah Islam ke atas anak-anak tersebut. Hendak jadi penyanyi, penyanyilah. Hendak jadi penari, penarilah. Hendak bukak tudung, bukak tudunglah. Hendak berkawan bebas lain jantina, berkawanlah. Ini sangat jauh dari makna sebenar Baitul Muslim itu sendiri.
Bahkan di awalnya lagi, sebelum berkahwin sewajarnya tekad untuk meramaikan zuriat ke jalan Allah menjadi salah satu target yang penting. Lebih bagus kalau diniatkan supaya satu keturunan kita semuanya pejuang. Semuanya ada sumbangan dan jasa untuk Islam. Barulah suami dan isteri ada bonus berpanjangan. Bukankah salah satu dari amalan yang tidak terputus sampai mati adalah anak-anak yang soleh?
Nabi s.a.w bersabda : Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan Anak Soleh yang mendoakannya.

( 4 ) MATLAMAT YANG SAMA UNTUK ISLAM
Paling penting, untuk mencapai Baitul Muslim yang terindah, kedua-dua suami dan isteri harus mempunyai matlamat yang sama untuk Islam. Matlamat peribadi boleh sahaja berbeza-beza dan boleh diselesaikan melalui perbincangan. Tetapi matlamat yang ‘tidak dapat tidak’ adalah memberi sumbangan kepada Islam.
Kita jangan ingat hendak memberi sumbangan kepada Islam itu hanya dengan suami menjadi penceramah, atau isteri menjadi guru agama. Menyumbang kepada Islam sangat luas konteksnya. Apa yang kita tidak mahu adalah, berkahwin dan hidup sendiri-sendiri. Dapat anak, cari harta dan hidup senang lenang. Masa, idea, tenaga hatta wang ringgit, sedikitpun tidak disalurkan kepada perjuangan Islam. Jika begitu keadaannya, indahkah Baitul Muslim tersebut? Apakah itu keindahan Baitul Muslim yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w?
Maka binalah Baitul Muslim dengan menetapkan matlamat : kami mesti menjadikan rumahtangga ini suatu bonus kepada Islam. Duduk semeja dan bincangkan, apakah yang boleh disumbangkan kepada Islam dengan terbinanya Baitul Muslim ini? Boleh jadi kemampuan berbeza-beza, bakat berbeza-beza, kelebihan berbeza-beza. Tidak mengapa, yang penting kita proaktif dan tidak pasif.
Ingatlah kembali di ketika sebelum berkahwin, kita bersungguh-sungguh menadah tangan dan bersolat hajat supaya Allah ‘selamatkan agama’ kita dengan perkahwinan. Kini setelah Allah izinkan pernikahan ke atas kita, sanggupkah kita pejamkan mata sahaja dari menyumbang kepada agamaNya?

PENUTUP
Setiap orang mahukan rumahtangga yang paling bermakna buat mereka. Dan saya berpendapat, rumahtangga yang bermakna haruslah dibina dengan perkara-perkara yang bermakna. Bermakna pada kita dan bermakna pada agama.
Sesungguhnya Baitul Muslim yang terindah adalah Baitul Muslim yang wujud di dalamnya keseimbangan antara percintaan dan perjuangan. Bukanlah Baitul Muslim yang terbina dengan kasih sayang dua insan sehingga melupakan amanah dari Tuhan!

No comments:

Post a Comment